Pada hari ini, hampir setiap makanan yang dibeli mempunyai label tersendiri yang mempunyai maklumat khusus nutrisi sesuatu makanan tersebut. Pemerhatian yang ringkas terhadap sesuatu produk boleh mengelirukan seseorang dari mendapat gambaran sebenar sesuatu makanan. Usaha - usaha untuk "menormalkan" terma - terma seperti rendah lemak atau rendah gula atau kalori sifar dapat dilihat jelas di atas sesetengah barang oleh pengiklan - pengiklan sebagai salah satu usaha pemasaran. Tetapi jaminan - jaminan ini mesti diteliti dan wajar diragui terlebih dahulu sebelum anda memasukkan produk - produk ini ke dalam mulut anda.


Oleh itu, anda digalakkan untuk membiasakan diri untuk membaca label makanan dengan teliti sebelum membuat keputusan. Kebanyakan label nutrisi makanan lebih spesifik daripada dahulu dan ini boleh membantu seseorang untuk membuat penilaian jelas terhadap sesuatu makanan. Dengan membaca kandungan protein, karbohidrat dan jumlah lemak, seseorang boleh membuat anggaran sebelum mencampurkan dengan adunan makanan yang lain yang turut mempunyai kandungan nutrien tersendiri.

Sebagai contoh, tuna dalam campuran air yang ditinkan lebih baik daripada tuna yang dicampur dalam minyak. Tuna yang dipek dengan minyak mungkin tidak sesuai untuk orang yang ingin kurangkan berat kerana minyak dalam tin mempunyai 100 kalori dalam hanya saiz sudu teh. Contoh yang seterusnya, terdapat pelbagai jenis susu yang mempunyai pelbagai rasa seperti coklat, strawberi dan malah perisa kopi disusun di mana - mana supermarket berhampiran.

Kesemua susu kotak secara umumnya mempunyai khasiat seperti protein,kalsium dan zat besi, tetapi anda boleh nampak susu yang mempunyai perisa coklat, strawberi dan kopi cenderung mempunyai kadar gula yang lebih tinggi dari susu perisa normal. Dan sesetengah makanan seperti mi segera cenderung mempunyai kandungan sodium atau garam yang tinggi dari paras yang digalakkan.



Kebanyakan label nutrisi makanan lebih spesifik daripada dahulu dan ini boleh membantu seseorang untuk membuat penilaian jelas terhadap sesuatu makanan

Justeru, sebagai seorang yang ingin membina badan, anda digalakkan untuk memilih makanan yang mempunyai jumlah protein yang tinggi, karbohidrat yang sesuai tapi dengan jumlah lemak atau gula yang rendah. Pada masa yang sama, jumlah kalori di dalam sesuatu produk juga harus dipertimbangkan mengikut sasaran badan anda.

Selepas ini, periksa semula barang - barang makanan yang anda selalu beli dan cuba bandingkan dengan produk yang lain sebagai pengganti. Cuba gantikan gula kasar/ susu krimer manis yang anda selalu beli dengan madu atau stevia dan lakukan benda yang sama terhadap bahan perasa di dalam dapur anda mengikut kreativiti anda.

Tetapi, pada masa yang sama, ada banyak produk makanan yang tidak mempunyai label dan muncul di depan anda dalam bentuk hidangan. Contohnya, burger keju, french fries yang menggoda, waffle, nasi lemak dan boba tea yang manis. Namun, maklumat nutrisi untuk kebanyakan makanan kini mula disediakan di premis restoran yang menyediakan hidangan ini dan ramai buku panduan makanan telah banyak dijual di kedai buku atau kedai kesihatan.

Selain itu, anda juga boleh memuat turun aplikasi info makanan untuk mendapat akses maklumat makanan untuk membantu anda membuat keputusan pembelian. Sungguhpun begitu, lebih baik sekiranya anda kurangkan makan di luar dan di restoran dimana anda tidak tahu sukatan garam atau gula diletakkan di dalam makanan atau minuman anda.

Amalkan pemakanan lebih kerap di rumah dan sediakan sendiri makanan anda adalah cara yang terbaik untuk membina badan walaupun anda perlu biasa memakan makanan yang lebih tawar pada permulaannya.


Apa pendapat anda?



Mengenai Penulis

Albert John

Albert John

Aktif dan mempunyai minat terhadap bina badan, beliau telah pun berlatih di gym untuk beberapa tahun dan pernah menjadi jurulatih sambilan pada sesetengah masa. Anda boleh menjumpai beliau berlatih di Justin Sompong Gym di Papar, Sabah. Terima kasih kerana melawat laman web Bina Otot.



Scroll ke Atas