Setiap ahli bina badan mendapat kepuasan sebenar apabila melihat di cermin, melakukan beberapa gaya posing dan melihat perkembangan otot dibentuk hasil dari latihan yang gigih, hari demi hari. Pengalaman latihan di gym boleh menjadi pengalaman yang menawarkan kepuasan dan sangat berbaloi atau sebaliknya.

Untuk sebahagian orang, pengalaman yang memenatkan dan sia - sia merupakan komen utama daripada golongan ini berikutan keadaan atau situasi yang tidak menentu. Ini membuktikan sukan bina badan bukanlah sukan yang mudah dimana anda hanya perlu beli minuman protein dan berlatih sekali - sekala dan kemudian, otot itu akan terbina dengan sendiri dan mudah.


Hakikatnya, tidak menghairankan apabila melihat ramai orang datang ke gym pada awal tahun dengan resolusi baru tetapi tiba - tiba hilang dan berkurang. Resolusi yang baru menjadi resolusi yang berulang - ulang dan sudah tentu trend ini perlu dikaji untuk memastikan minat terhadap bina badan sentiasa tinggi. Pemain - pemain industri fitness perlu sedar dan berusaha mengkaji penyakit ini agar trend ini dapat dikurangkan untuk kebaikan bersama.

Oleh itu, suatu cara untuk memberikan atau memperolehi pengalaman yang terbaik untuk setiap ahli baru yang berkunjung ke gym perlu diwujudkan. Berlatih dengan entusiasm atau keinginan amat penting untuk memastikan setiap ahli bina badan mendapat pengalaman yang terbaik.

Untuk ahli baru yang ingin turun ke gym, anda juga perlu tahu perkara baru yang akan datang ke arah anda seperti perasaan sensasi ketika berlatih, intensiti latihan, kesakitan otot, cabaran yang menanti. Anda juga digalakkan untuk membuat persediaan awal seperti pemilihan gym yang betul dan menyusun jadual latihan gym. Selain itu, kawan sebagai teman berlatih bersama (training partner) juga penting untuk membantu anda mendapatkan maklumat yang berguna ketika berlatih dan menyesuaikan diri.

Persediaan minda

Apabila anda memulakan bina badan, minda memainkan peranan yang penting dalam keseluruhan perjalanan anda untuk membina tubuh badan yang anda inginkan. Untuk berjaya dalam bina badan, anda perlu melatih minda anda untuk berfikir. Anda kena memahami tujuan dan apa yang anda lakukan. Anda kena belajar dan mahir dalam melakukan teknik latihan. Anda kena pergi lebih jauh daripada prinsip asas bina badan dan cari apa yang memberi kesan terbaik untuk anda. Sama seperti semua ahli bina badan, anda kena belajar dahulu senaman - senaman asas. Selepas beberapa tempoh masa, anda sekarang perlu melakukan eksperimen sendiri dalam latihan, sentiasa berfikir tentang apa yang anda telah lakukan.

Sebagai contoh, anda mungkin telah melatih bahagian otot dada dan lats dengan intensiti penuh tetapi anda tertanya - tanya walaupun anda melakukan latihan ini tetapi anda masih tidak mendapat hasil yang anda inginkan sama seperti apabila anda lakukan teknik superset untuk melatih otot dada dan lat. Teknik latihan yang berkesan untuk anda mungkin tidak memberi hasil yang sama kepada orang lain walaupun anda dan orang lain ini berlatih dengan menggunakan kadar intensiti dan teknik yang betul. Untuk contoh yang lebih jelas lagi, anda mungkin mendapati senaman dip tidak memberikan banyak hasil yang sama walaupun orang lain mendapat hasil badan yang jauh lebih bagus dengan melakukan senaman dip pada intensiti yang sama. Sebab itulah, seseorang perlu belajar melakukan kesemua senaman dan prinsip yang ada kemudian belajar bagaimana setiap teknik yang ada mempengaruhi anda sebagai individual.

"The Pump"

Satu daripada banyak perkara yang anda akan alami apabila anda mula berlatih adalah perasaan sensasi apabila otot anda "membengkak" lebih besar dari saiz normal, urat darah anda akan kelihatan ketara dan anda akan rasa gagah dan penuh tenaga. Perasaan stimulasi "The Pump" ini biasanya dirasai selepas 4 atau 5 set. Kebiasaannya, anda akan merasai sensasi sepanjang latihan, dan anda boleh merasai kesan pam darah yang meningkat mengikut masa apabila darah dialirkan secara paksa ke dalam kawasan yang dilatih dengan bekalan oksigen baru dan nutrien untuk melakukan pergerakan otot berterusan.

Untuk memberi anda gambaran yang lebih jelas, darah akan mengalir masuk ke dalam kawasan yang dilatih oleh hasil tindakan otot dan tekanan yang datang daripada sistem kardiovaskular tetapi tiada daya yang sama untuk menarik darah semula "keluar" dari otot. Oleh sebab ini, darah tambahan akan kekal di dalam otot untuk satu tempoh, menyebabkan otot anda nampak lebih besar daripada biasa. Ahli bina badan gemar melakukan latihan sebelum pertandingan agar otot peserta yang bertanding akan tampak lebih besar dan menarik.

"Apabila anda merasai perasaan sensasi hasil dari kesan pam darah, apa yang berlaku ialah hormon respons akan dirembeskan dimana hormon endorfin dan enkephalin akan dihasilkan. Hormon - hormon ini memberi kesan sensasi sama seperti apabila anda berasa lega dan rasa positif," jelas Dr Fred Hatfield, seorang ahli fisiologi senaman dan juara powerlifter.

Intensiti Latihan

Dalam bina badan, anda berlatih untuk membina otot dan tidak hairanlah perkara yang paling penting yang menentukan sama ada latihan anda berjaya atau tidak adalah dengan melihat pada hasil iaitu visual penampilan otot anda. Anda mungkin berfikir "Apa yang saya boleh lakukan untuk meningkatkan kualiti hasil visual otot saya?" apabila anda mencapai tahap tertentu selepas memberikan dedikasi yang secukupnya.

Mendapatkan hasil yang lebih baik apabila anda terkandas dan tidak dapat berganjak dari tahap sama ke peringkat seterusnya boleh diselesaikan dengan meningkatkan intensiti latihan anda. Bagaimanakah anda boleh meningkatkan intensiti dalam teknik latihan anda? Berikut merupakan contoh - contoh dimana anda boleh meningkatkan intensiti anda:

  • menambah berat di dalam senaman anda;
  • meningkatkan jumlah rep di dalam set;
  • mengurangkan tempoh rehat di antara set;
  • melakukan dua atau lebih senaman secara berterusan tanpa rehat (superset);

Tidak dinafikan, semua orang yang pergi ke gym akan mudah kecewa apabila usaha yang dilakukan selama berbulan - bulan tidak menampakkan hasil yang diinginkan. Semua ini adalah perkara yang boleh berlaku dalam pengalaman seseorang sepanjang berlatih dalam gym. Dan apabila anda semakin lebih maju dan di peringkat yang lebih tinggi, anda perlu cabar badan anda semula dengan meletakkan badan anda dalam tahap yang lebih sukar.

Kesakitan Otot dan Sengal

Semua ahli bina badan mesti pernah mendengar ungkapan klasik "No pain, no gain," tetapi sangat penting untuk mengenal pasti jenis kesakitan yang memberi "nikmat" puas dari latihan intensiti tinggi atau kesakitan yang muncul hasil daripada kecederaan fizikal yang sebenar.

Kesakitan otot atau sengal otot merupakan perkara biasa dalam kalangan ahli gym. Kesakitan ini disebabkan kerosakan mikro ke atas otot, ligamen atau tendon - tidak teruk sehingga dikategorikan sebagai sebuah kecederaan tapi masih sakit. Sebahagian perasaan sakit atau sengal memang tidak boleh dielakkan, seringkali dianggap sebagai petunjuk bahawa anda telah berlatih dengan gigih. Tetapi kesakitan yang muncul juga boleh menjadi petanda kecederaan yang jauh berbeza daripada perasaan sengal otot yang biasa. Anda dikehendaki berhenti serta merta, dapatkan rehat dan pergi dapatkan bantuan medikal kesihatan sekiranya perlu.

Cabaran dan Halangan

Sebarang kemajuan di dalam pembentukan bina badan tidak datang dengan bergolek kerana otot tidak datang dalam keadaan "bulat" dengan serta merta, tetapi penuh dengan naik dan turun seperti bukit. Tetapi apabila hasil otot dalam badan anda mula timbul, segala usaha yang anda lakukan menjadi sangat berbaloi.

Tetapi perkara - perkara yang tidak diingini boleh berlaku pada bila - bila masa yang akan menganggu proses perjalanan latihan anda. Anda mungkin sakit atau anda mungkin tiba - tiba terpaksa berlatih tanpa peralatan yang sesuai berdekatan. Keadaan cuaca yang tidak mengizinkan juga boleh menjadi faktor konspirasi dimana anda terpaksa melepasi halangan mental untuk keluar pergi ke gym atau melakukan senaman di rumah pada ketika ini.

Kecederaan ketika latihan, pandangan stereotaip yang negatif dari sekeliling dan disiplin diet yang tegas - akan menjadi ujian kekuatan mental tambahan kepada anda. Tiada jalan singkat untuk membina badan - tetapi anda boleh percaya kepada diri anda - percaya bahawa anda mempunyai apa yang diperlukan untuk berjaya. Ingat, tiada orang yang dapat menghalang diri anda daripada berjaya kecuali anda sendiri. Apa yang pasti, semua orang tidak boleh menaiki tangga kejayaan apabila tangan berada di dalam poket.



Pasangan Latihan Anda

Dalam perjalanan bina badan, mempunyai "training partner" yang betul sangat penting untuk anda. Walaupun anda mungkin seorang yang lebih gemar berlatih bersendirian, tetapi mempunyai training partner boleh membantu anda untuk melakukan peningkatan berbanding berlatih bersendirian. Dengan bantuan rakan, anda tidak perlu risau untuk menggunakan beban maksimum yang anda ingin lakukan dalam sesuatu senaman - dan ada beberapa senaman yang mencabar seperti senaman squat yang berat dimana seorang perlu bertugas untuk membantu anda sekiranya anda menghadapi masalah pada pertengahan rep. Realitinya, ada sempadan di luar di mana anda tidak boleh menyeberang bersendirian tanpa bantuan.

Jadual Latihan

Sekiranya anda mempunyai motivasi yang cukup, anda sentiasa akan mencari jalan untuk memastikan anda berlatih mengikut sesi jadual anda tanpa mengira sebarang sebab.

Salah satu rungutan yang biasa diutarakan oleh kebanyakan orang adalah ketiadaan masa untuk melakukan latihan mereka. Menyusun jadual boleh menjadi masalah untuk mereka yang mempunyai karier, keluarga dan membesarkan anak. Tapi sekiranya anda betul - betul inginkan untuk membina badan, anda sebenarnya sentiasa mempunyai masa untuk berlatih - dengan hanya satu jam, anda boleh bersenam untuk mencapai sasaran tubuh badan yang diingini. Pada masa yang sama, negativiti dari orang sekeliling juga boleh mengalihkan perhatian anda untuk fokus dan anda kadang - kadang digelar mementingkan diri apabila memilih dalam pemakanan. Orang - orang yang tidak memahami dan tidak menghormati sentiasa cuba memperlekehkan apa yang anda lakukan dan boleh menyebabkan anda terkeluar daripada landasan jadual yang sepatutnya anda ikut.

Kesemua ini adalah sebahagian daripada pengalaman latihan yang anda kena tempuhi, kadang - kadang faktor psikologi boleh menjadi lebih mendesak dan sukar daripada cuba melengkapkan sesuatu latihan fizikal. Sangat sukar untuk memastikan diri anda untuk patuh sepenuhnya kepada jadual latihan dalam keadaan begini dan anda terpaksa mahir untuk mengambil kesempatan yang ada untuk berlatih.


Apa pendapat anda?



Mengenai Penulis

Albert John

Albert John

Aktif dan mempunyai minat terhadap bina badan, beliau telah pun berlatih di gym untuk beberapa tahun dan pernah menjadi jurulatih pada sesetengah masa. Anda boleh menjumpai beliau berlatih di Justin Sompong Gym di Papar, Sabah. Terima kasih kerana melawat laman webBina Otot.

<


Scroll ke Atas