
"Adakah saya terlalu tua untuk membina badan?" Berikut merupakan soalan yang biasa diutarakan oleh orang - orang yang telah mencapai peringkat lewat umur. Sudah tentu tidak, anda boleh sahaja bermula membina badan walaupun anda tua dan mungkin tidak lagi bertenaga seperti dahulu. Malah orang - orang tua digalakkan untuk rajin mengamalkan sukan besi ini kerana struktur otot akan melalui proses atrophy dalam kadar yang sentiasa meningkat. Penawar yang disyorkan untuk melawan perubahan ini adalah dengan membina otot dengan betul dalam sukan bina badan.
Tetapi apabila bercakap mengenai pertandingan, sudah tentu bermula lewat dalam bidang ini mempunyai kekurangan sekiranya anda berminat untuk bersaing di atas pentas. Memang ada ahli bina badan yang bermula lewat dalam memulakan perjalanan bina badan dan kemudian berkembang menjadi pesaing hebat seperti Ed Corney.
Tetapi, kebiasaanya, peluang anda untuk menjadi juara bina badan semakin sukar dilakukan apabila semakin lewat anda bermula. Walaupun begitu, bermula lewat di bina badan tidak sama seperti bermula lewat di mana - mana sukan lain. Tetapi ramai juara bina badan tidak mula berlatih sehingga awal atau pertengahan 20 tahun dan kemudian menjadi amatur seterusnya juara professional dalam 10 tahun seterusnya. Oleh itu, walaupun anda membuat permulaan yang agak lewat dalam bidang ini, anda masih mempunyai kadar peluang yang cerah untuk berpotensi memenangi sesuatu.
Bukan sahaja anda boleh bermula lewat dalam sukan ini, tetapi anda juga boleh bertanding dalam tempoh yang jauh lebih lama daripada atlet sukan lain dimana atlet sukan lain mungkin sudah bersara seperti dalam sukan golf. Tetapi sudah tentu, ahli bina badan pada umur 40 tahun ke atas tidak akan mendapat bentuk badan yang dimahukan sama seperti bentuk badan yang boleh dicapai beberapa tahun awal yang lepas.
Dari segi kesihatan, kesan penuaan dalam badan boleh terpapar melalui pengurangan drastik jisim otot. Tetapi kajian terbaru telah membuktikan otot tidak perlu sentiasa berkurang, berbeza dari apa yang kita selalu percaya. Malah, jisim otot boleh dipertingkatkan pada skala luar biasa dengan latihan yang betul walaupn seseorang itu telah mencapai peringkat lewat umur. Dalam kata pendek, kajian saintifik menunjukkan bahawa latihan bina badan boleh membantu anda kelihatan lebih muda.
Sudah tentu, semakin tua usia anda, anda perlu semakin berhati - hati apabila anda ingin memulakan langkah untuk mula bermain "besi". Dapatkan nasihat doktor atau pegawai kesihatan sekiranya anda sudah membuat keputusan untuk bermula terutamanya kepada orang yang berumur 60 atau 70 tahun ke atas. Anda mungkin ingin bermula dengan menggunakan beban yang ringan terlebih dahulu dan membiasakan diri anda dengan teknik pergerakan yang betul secara perlahan - lahan. Apabila anda semakin tua, kecederaan mungkin mengambil masa yang lebih lama jadi lakukan apa yang perlu untuk mengelakkan sebarang kemalangan.
Dan hasilnya, anda akan berasa lebih muda dalam pelbagai aspek. Anda lebih kuat seperti masa muda dahulu. Anda lebih muda seperti masa muda dahulu. Tenaga, cara pergerakan dan kualiti yang lebih baik dalam menjalani kehidupan harian. Keyakinan untuk berdikari sendiri akan menjadi lebih baik. Oleh itu, anda tidak perlu kehilangan otot atau jisim tulang apabila anda semakin tua; anda masih boleh kekalkan apa yang ada dan sebenarnya meningkatkan lagi kekuatan anda.