Sejak bina badan "diangkat" menjadi sukan professional utama, sudah tentu jumlah wang yang diperoleh daripada sukan juga meningkat. Sesetengah ahli bina badan seperti John Grimek, Bill Pearl dan Reg Park sentiasa dijemput untuk melakukan seminar dan pertunjukan pada tahun 1950an dan dapat meraih pendapatan yang stabil - tetapi realitinya sangat sedikit bintang sukan bina badan yang boleh menyara kehidupan dengan menjadi atlet bina badan sepenuh masa.


Pada tahun 1965, hadiah kemenangan pada kejuaraan Mr Olympia hanyalah sebuah mahkota. Pada 1998, pemenang professional boleh memperoleh hadiah wang sebanyak $110 000 dan jumlah kemenangan yang ditawarkan pada Mr Olympia dan Arnold Classic boleh mencecah enam angka.

Pada tahun 1965, hadiah kemenangan pada kejuaraan Mr Olympia hanyalah sebuah mahkota

Situasi yang sama juga berlaku di arena bina badan di negara kita, di Malaysia. Kebanyakan atlet bina badan yang mengikuti pertandingan bina badan biasanya mempunyai kerjaya tersendiri dan hanya menjadikan pendapatan yang diperoleh dari pertandingan serta acara bina badan sebagai pendapatan sampingan.

Jumlah bayaran untuk keahlian gym, pembelian makanan khusus untuk membina otot dan cabaran persaingan di setiap pertandingan boleh memakan kos yang tinggi untuk meneruskan pembentukan otot pada tahap kompetitif, bulan demi bulan. Bukan perkara ganjil untuk seorang ahli bina badan menghabiskan lebih kurang RM 600 minimum ke atas sehingga ribuan ringgit untuk belanja makan, hanya untuk memenuhi jumlah nutrien penting yang diperlukan.

Tidak hairanlah, sesetengah ahli bina badan membuat dan menawarkan program latihan persendirian untuk orang yang berminat membina badan atau memperbaiki penampilan. Walaupun jumlah wang kemenangan di dalam pertandingan bina badan tempatan di Malaysia semakin meningkat, tetapi anda perlu sentiasa menang di dalam setiap pertandingan tahunan yang dianjurkan dimana pencapaian ini sangat sukar untuk dilakukan berikutan peningkatan ahli bina badan di dalam negara pada masa kini.

Sungguhpun begitu, permintaan terhadap latihan bina badan terus berkembang dan popular lantaran tahap kesedaran yang meningkat dalam kalangan masyarakat. Ramai ahli bina badan atau peminat fitness membuka fasiliti gym sendiri, membuka perniagaan pembuatan peralatan kesihatan atau menjadi usahawan pakaian dan supplemen untuk bina badan. Ramai orang berjaya memperoleh pendapatan sampingan yang lumayan dengan mengambil kesempatan melakukan perniagaan ini melalui pesanan platform e-dagang dan sudah tentu, seminar dan pertunjukan.



Dengan indikasi - indikasi yang jelas dan ketara ini, perkembangan sukan bina badan juga semakin mengambil tempat di dalam industri kecergasan. Kebanyakan pasukan - pasukan sukan professional tempatan mula mengupah dan merekrut jurulatih kekuatan dan prestasi (strength and conditioning coach) untuk membantu pemain - pemain mereka mempunyai kelebihan kompetitif untuk menewaskan pesaing.

Pada masa yang sama, pengetahuan yang diperoleh dari sukan bina badan membantu pemain untuk membina otot yang lebih kuat dan berdaya tahan, seterusnya mengurangkan risiko kecederaan ketika bertanding di peringkat tertinggi. Walaupun peranan jurulatih kekuatan dan prestasi ini masih lagi sangat kurang diberi peluang di Malaysia jika dibandingkan di USA dan Eropah, pendidikan dimana peluang pekerjaan dalam bidang ini harus digalakkan untuk industri sains sukan terutamanya untuk membina kecergasan otot - adalah wajar diberi perhatian.

Dengan peningkatan kesedaran tentang sukan bina badan, kerjaya dan peluang pekerjaan untuk seorang ahli bina badan meraih pendapatan yang lumayan adalah tidak mustahil. Namun kerjaya sebagai ahli bina badan adalah tidak mudah dan memerlukan pengorbanan yang besar. Walaupun semakin ramai orang yang berminat kepada sukan bina badan, sukar untuk menjadikan sukan bina badan ini sebagai sumber pendapatan yang stabil. Buat masa ini, seseorang ahli bina badan mungkin perlu melakukan perniagaan mereka sendiri yang berkaitan dengan kecergasan dan aktif menawarkan program latihan persendirian agar boleh meraih pendapatan yang secukupnya.


Apa pendapat anda?



Mengenai Penulis

Albert John

Albert John

Aktif dan mempunyai minat terhadap bina badan, beliau telah pun berlatih di gym untuk beberapa tahun dan pernah menjadi jurulatih pada sesetengah masa. Anda boleh menjumpai beliau berlatih di Justin Sompong Gym di Papar, Sabah. Terima kasih kerana melawat laman web Bina Otot.


Scroll ke Atas